RIBAT ASQALAN (عسقلان): BERITA GEMBIRA DAN JANJI ALLAH
26 Oktober 2023
Oleh: Dr Nasr Fahjan (Gazzah)
Terjemahan: Syed Zulfaqar
Daripada Ibn ‘Abbas RA, bahawa dia berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
أوَّلُ هذا الأمر نُبُوةٌ ورحمة، ثم يكون خلافة ورحمة، ثم يكون مُلكًا ورحمة، ثم يتكادمون عليه تكادُمَ الحُمُر، فعليكم بالجهاد، وإنَّ أفضل جهادكم الرباط، وإنَّ افضل رباطكم عسقلان
“Awal bagi perkara ini (pemerintahan umat Islam) adalah kenabian dan rahmah, kemudian ia akan menjadi kekhalifahan dan rahmah, kemudian ia akan menjadi kerajaan beraja dan rahmah, dan kemudian mereka akan saling merebutnya, seperti keldai-keldai yang saling bertelagah, maka wajib keatas kamu jihad, dan sebaik-baik jihad kamu adalah ribāt, dan sebaik-baik ribāt kamu adalah Asqalan”.
Ia diriwayatkan oleh al-Tabaraani dalam al-Kabeer (11/88) (11138), dan al-Haythami berkata dalam Majma’ al-Zawa’id: Rijal-rijalnya thiqah, dan al-Albaani mensahihkannya dalam al-Saheehah (3270).
Apabila kita melihat hadis ini, kita dapat memahami bahawa ia merupakan perkhabaran dari Nabi SAW mengenai sebuah bandar di Palestin iaitu Asqalan, dan bahawa ia akan menjadi sebaik-baik ribāt bagi umat Islam, dan berlakunya ia pada peringkat berleluasanya kezaliman dan tribulasi keatas penduduk Palestin.
Hadis ini juga memberitahu kita bahawa ribāt di Asqalan berada di peringkat akhir peralihan dan transformasi kerajaan dalam pemerintahan umat Islam, dimana ketika itu rahmah telah hilang, ketidakadilan berlaku, dan Tanah Suci diperlakukan dengan pelbagai kerosakan, penjajahan dan kerugian, yang menyeru kepada perlunya untuk melaksanakan jihad dan ribāt padanya.
Tahapan ini dapat dikenalpasti dengan mengkaji pelbagai peringkat pemerintahan yang telah disebutkan oleh hadis tadi, iaitu seperti berikut:
Peringkat Pertama: Peringkat nubuwwah dan rahmah:
Ia adalah peringkat di mana Nabi Muhammad SAW merupakan pemerintah umat, dan baginda adalah pemerintah yang paling rahmah, dan peringkat ini telah berakhir dengan kewafatan Baginda SAW.
Peringkat Kedua: Peringkat Khulafa’ ar-Rasyidin:
Ia adalah peringkat Khulafa’ Ar-Rasyidin yang memerintah dengan panduan Nabi SAW, bersama dengan kekhalifahan itu juga rahmah di dalamnya, dan peringkat ini juga telah berakhir.
Peringkat Ketiga: Pemerintahan Beraja (Keturunan):
Inilah yang dikenali sebagai peringkat (al-Malik al-‘Adh atau al-‘Adhud), seperti dalam hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man ibn Bashir bahawa dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
تكون النبوة فيكم ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله تعالى، ثم تكون خلافةٌ على منهاج النبوة ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله تعالى، ثم تكون مُلكًا عاضًا، فتكون ما شاء أن تكون، ثم يرفعها الله تعالى، ثم تكون مُلكًا جبرية، فيكون ما شاء الله أن يكون، ثم يرفعها الله تعالى ثم تكون خلافة على منهاج النبوة، ثم سكت
“Kenabian itu akan bersama kamu selama mana yang Allah kehendaki, kemudian Allah Taala akan mengangkatnya daripada kamu, kemudian akan berlangsung kekhalifahan diatas manhaj nubuwwah, selama mana yang Allah kehendaki, kemudian Allah Taala akan mengangkatnya daripada kamu, kemudian akan berlangsung pemerintahan Kerajaan yang menggigit (‘adid) selama mana yang Allah kehendaki, kemudian Allah Taala akan mengangkatnya, kemudian akan berlangsung pemerintahan kerajaan kuku besi (jabbariyyah), selama mana yang Allah kehendaki, kemudian Allah Taala akan mengangkatnya daripada kamu, kemudian akan berlangsung kekhalifahan diatas manhaj nubuwwah, kemudian Baginda diam…”
Takhrij al-Albani Misykat al-Masobih (5306) mengatakan sanadnya hasan.
Fasa pemerintahan Kerajaan yang menggigit ini (dinasti keturunan) adalah peringkat yang datang selapas fasa Khulafa’ ar-Rasyidin, dan ianya bermula dengan kekhalifahan Bani Umayyah dan berlangsung sehingga berakhirnya pemerintahan khilafah Bani Uthmaniyyah, dan pemerintahan pada peringkat ini juga masih belum luput padanya rahmah sepertimana yang diisyaratkan dalam hadis Nabi SAW dan telah berakhir peringkat ini pada awal kurun ke-20 Masihi.
Peringkat Keempat: Peringkat Keldai-Keldai yang saling bertelagah
Ianya adalah peringkat pemerintahan kuku besi (jabbariyyah), berlaku banyak perebutan kuasa, dan mereka bertelagah untuk kuasa sepertimana keldai yang saling bertelagah antara satu sama lain, melalui banyaknya rampasan kuasa tentera yang berlaku, dan pelbagai konflik yang berlaku. Dan peringkat ini telah bermula setelah berakhirnya pemerintahan Bani Uthmaniyyah pada awal kurun ke-20 Masihi (dengan kemungkinan yang paling pasti) dan ianya masih berlangsung sehingga hari ini.
Dan pada peringkat inilah, kita mendapati Nabi SAW menyebut Asqalan! Dan Baginda mewasiatkan jihad kepada kita. Dan Baginda mengkhabarkan kepada kita bahawa sebaik-baik jihad kita adalah ribāt, dan sebaik-baik ribāt kita adalah di Asqalan!
Apa yang menarik perhatian kita adalah, dan seakan-akan Baginda sedang mengkhabarkan kepada kita sesuatu yang ghaib, bahawa Palestin telah dijajah oleh Zionis Yahudi, dan mereka telah mendirikan negara mereka diatas tanahnya pada tahun 1948, dan mereka telah membawa masuk ratusan ribu bangsa mereka, yang memang berhajat kepada jihad dan ribāt untuk membebaskannya. Dan ianya persis apa yang kita temui pada hadis Nabi SAW, Ketika mana Baginda mewasiatkan kita dengan jihad dan ribāt di kota Asqalan, di Palestin: “…dan kemudian mereka akan saling merebutnya, seperti keldai-keldai yang saling bertelagah, dan sebaik-baik jihad kamu adalah ribāt, dan sebaik-baik ribāt kamu adalah Asqalan”.
Kenapa Asqalan?
Adalah dimaklumi oleh semua bahawa Asqalan merupakan suatu bandar di Palestin yang telah dijajah Zionis Yahudi pada tahun 1948, dan ianya teletak di utara Gaza yang dikepung, dan dimaklumi bahawa para mujahidin tidak mungkin melaksanakan ribāt diatasnya sekarang kerana ianya adalah sebahagian daripada wilayah yang sedang dijajah.
Oleh itu, kita boleh memahami kata-kata Nabi SAW ini melalui jalan berikut:
Pandangan pertama:
Apa yang dimaksudkan dengan Asqalan ialah: kawasan Gaza yang terletak berhampiran Asqalan dan persekitarannya, kerana Gaza dan Asqalan terletak di pesisir Laut Mediterranean, dan dua kawasan ini adalah kawasan dataran dan pantai yang berjiran yang terletak di selatan Palestin, yang menjadikan mereka seolah-olah satu kawasan. Dan tidak jauh untuk kita mengatakan bahawa yang dimaksudkan Rasulullah SAW: (Sebaik-baik ribāt kita adalah Asqalan) adalah ribāt di Gaza yang terletak berhampiran Asqalan, terutamanya kerana Gaza pada ketika ini benar-benar merupakan kawasan jihad, ribāt, penentangan, kesabaran dan ketabahan, di mana mujahidin bertahan (ribāt) diatasnya, dan mereka menyediakan apa yang mereka dapat dari kekuatan untuk pembebasan dan kembali ke tanah mereka, dan penjajah Israel telah menjalankan atasnya perang demi perang, dan mereka bangun menentangnya dan tidak sesekali menyerah, dan penjajah telah mengepung mereka dari dekat dan jauh, dan mereka yang tinggal disana kekal bersabar atas semua ini, dan tidak meninggalkan jihad dan ribāt mereka, dan tidak pula melampaui batas dengan senjata mereka walaupun mereka menerima pelbagai serangan dan siksaan. Maka bukanlah sesuatu yang jauh untuk dikatakan bahawa Gaza adalah yang dimaksudkan dengan ribāt di Asqalan dalam hadis tersebut. Dan telah dinyatakan dalam kitab yang membicarakan tentang manaqib Imam Shafie bahawa beliau kadang-kadang berkata: Saya dilahirkan di Gaza, dan kadang-kadang beliau berkata: Saya dilahirkan di Asqalan.
Pandangan pertama ini adalah berita baik dari Nabi SAW kepada umatnya dan para mujahidin bahawa ribāt mereka di Gaza pada hari ini adalah ribāt yang terbaik.
Pandangan kedua:
Apa yang dimaksudkan dengan Asqalan ialah: ia adalah kawasan (Asqalan) itu sendiri, yang kini berada di bawah pendudukan Israel sejak tahun 1948, dan dalam pandangan ini juga terdapat berita baik untuk para Mujahideen dan Murabitin. Hal ini kerana, dalam hadis yang menjadi rujukan kita, ini menujukkan bahawa mereka akan ditempatkan di Asqalan tidak lama lagi, yang membuat saya menjangkakan bahawa perang akan meletus tidak lama lagi yang mana hasilnya adalah bahawa Gaza akan menang, dan mujahidinnya akan mengawal kawasan semenanjung Gaza, dan kawasan Asqalan, selepas pretempuran ketenteraan yang hebat dengan pendudukan Israel yang akan memaksa mereka untuk berundur dan meninggalkan kawasan itu. Maka akan menjadi kenyataan lah berita gembira dari Rasulullah SAW ini, bahawa Mujahideen akan ditempatkan di Asqalan sebagai persediaan untuk penaklukan Baitulmaqdis, dan pembebasan keseluruhan tanah Palestin, di mana para mujahidin dari Baitulmaqdis dan persekitaran Baitulmaqdis akan mengambil bahagian, Insya-Allah.